Harapan Sukan SEA 2007

 sukan

Kapal layar sasar empat emas di Korat

KUALA LUMPUR – Persatuan Pelayaran Malaysia menyasarkan kutipan empat pingat emas daripada 12 acara sukan tersebut yang dipertandingkan pada Sukan SEA di Korat, Thailand, Disember ini.

Pengurus pasukan kapal layar ke temasya tersebut, Lt. Komander Malik Sulaiman berkata, jika sasaran itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi kutipan emas kedua terbaik bagi acara kapal layar selepas edisi 2001 di Kuala Lumpur dengan jumlah lima emas.

‘‘Sejak Malaysia mula menyertai acara kapal layar Sukan SEA pada tahun 1961, pencapaian terbaik negara ialah pada tahun 2001 di Kuala Lumpur, dengan lima pingat emas.

‘‘Bagi temasya dua tahun sekali itu yang diadakan di luar negara pula, pencapaian terbaik ialah pada tahun 1997 di Jakarta, dengan kutipan dua emas. Jadi di Korat, persatuan berharap dapat mengatasi jumlah tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Malik berkata, Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara optimis (lelaki, wanita, berpasukan), laser (lelaki, wanita), super moth, international 420 (lelaki, wanita), international 470 (lelaki, wanita), windsurfing (luncur layar) dan Keelboat.

Beliau yang merahsiakan acara yang dijangka bakal menyumbang emas kepada Malaysia berkata skuad tersebut kini dianggotai 25 pelayar dan dibantu lima jurulatih dan kini memasuki fasa latihan terakhir masing-masing, yang diadakan di tiga venue.

Latihan bagi acara optimis dan laser diadakan di Port Dickson, keelboat di Pelabuhan Klang dan luncur layar di Pulau Pinang, katanya.

Kesemua anggota skuad dipilih daripada 18 pelayar elit yang berada dalam program antara persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk atlet yang menyerlah dalam sirkit ranking kebangsaan serta pelbagai kejohanan antarabangsa di luar negara.

‘‘Empat jurulatih, Abdul Rani Idris, Zaidi Amin Pardi, Hamdan Rozi dan Shahril Razak dibantu oleh jurulatih dari Belanda, Ronald Van Vierman bertanggungjawab melatih kesemua pelayar tersebut,” katanya.

Acara kapal layar di Thailand nanti akan berlangsung di Ocean Marina Yatch Club di Pattaya.

– Bernama

Leave a Reply