Lagi Persiapan Sukan Layar di Sukan SEA 2007 – Laporan Berita Harian Online

Sukan Sea XXIV: Luncur layar pertaruh enam pingat emas

BERBANDING sukan pelayaran, sukan luncur angin mungkin agak kurang dikenali di peringkat Asia Tenggara lebih-lebih lagi pada Sukan Sea Korat edisi ke-24 pada kali ini.

Acara yang berlangsung di Jomtien Beach, Pattaya City itu mempertaruhkan enam pingat emas dengan tuan rumah, Thailand dikatakan mahu memburu lebih banyak pingat emas dalam acara berkenaan.

Pada Sukan Sea Manila 2005, acara berkenaan tidak ditawarkan manakala hanya dua acara dilangsungkan membabitkan sukan pelayaran tetapi kali ini, 18 emas ditawarkan dalam kedua-dua acara oleh pihak penganjur.

Tanpa sebarang sasaran utama, dua peluncur layar negara akan memulakan cabaran pada kali ini membabitkan gabungan tenaga muda dan lama untuk menyekat dominasi Thailand.

Malaysia akan diwakili Ian Low Yee Han dalam acara Radial Remaja yang juga acara Sukan Olimpik manakala Yap Leong Soon akan beraksi dalam acara Formula dengan kedua-duanya akan memulakan saingan esok.

Bagi pengurus negara, Malik Sulaiman, kedua-dua atlit negara tetap memiliki peluang walaupun tuan rumah tampak lebih gagah apatah lagi bersaing di tempat sendiri.

“Kita ada gabungan peluncur muda kali ini dengan Ian baru berusia 17 tahun manakala Yap sudah pastinya lebih berpengalaman pada usia 45 tahun.”Acara ini sebenarnya agak kurang popular di rantau ini dan mungkin kerana mahu memungut pingat lebih banyak, tuan rumah menawarkan acara ini pada Sukan Sea kali ini,” katanya.

Walaupun begitu, dua peluncur negara tetap mendapat pendedahan berguna untuk Sukan Sea kali ini terutama Ian yang sudah berada di sini hampir sebulan lalu kerana menyertai kejohanan luncur angin di sini.

Kejohanan berkenaan adalah pemanas badan sempena Sukan Sea dan menurut Malik, ia adalah saingan paling baik untuk memberi peluang buat atlit muda itu meningkatkan prestasinya.

“Bagi Yap pula, dia kini menghuni tangga ketiga ranking peluncur di Asia Tenggara dan sudah menimba lebih banyak pengalaman dengan menyertai pelbagai pertandingan tahun ini termasuk di New Zealand dan Australia,” katanya. 

Leave a Reply