Malik's concerned in the race performance is also reported in Berita Harian, 09 January 2008:
Quantum tebus kegagalan awal
KEGAGALAN juara bertahan, Quantum Racing menguasai perlumbaan hari pertama, Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2008 kelmarin, berjaya ditebus pasukan Australia itu, semalam apabila mendahului kelas Racing dengan catatan dua jam 27.15 minit pada perlumbaan ketiga dan 2:27.53s pada perlumbaan keempat untuk muncul pendahulu dengan kutipan enam mata.Pasukan Jelik yang cemerlang pada hari pertama hanya mampu menduduki tempat kedua selepas perlumbaan keempat semalam, pasukan pimpinan kapten kapal, Frank Pong itu mencatat 2:29.44s pada perlumbaan ketiga dan 2:29.50s pada perlumbaan keempat dengan mengutip lapan mata, diikuti Full Metal Jacket dengan 13 mata.Dua wakil negara dalam kelas Racing, Zuhal dan Navy Janda Baik pula hanya mampu menduduki tempat keenam dan ketujuh keseluruhan dengan himpunan 27 dan 29 mata. Zuhal mencatat 2:34.48s pada perlumbaan ketiga dan 2:43.41s pada perlumbaan keempat, Navy Janda Baik pula mencatat 2:36.30s pada perlumbaan ketiga dan 2:42.23 pada perlumbaan berikut.
Bagi kapten Zuhal, Lt Komander Malik Sulaiman, pasukannya melakukan sedikit kesilapan pada permulaan perlumbaan keempat, semalam selain daripada terpaksa melakukan penalti, iaitu melakukan satu pusingan yang menyebabkan pasukannya ketinggalan setengah batu.
“Jika pada hari pertama kami berjaya menguasai pasukan yang dekat dengan kami, hari ini (semalam) mereka yang menguasai kami. Hi Fi hampir melanggar kami dan terpaksa mengambil keputusan melakukan penalti.
“Keadaan angin juga sukar diramal hari ini (semalam), hanya sekitar 12 dan 13 knot. Kami menghadapi sedikit masalah pada perlumbaan ketiga, dan hanya pada perlumbaan keempat kami berjaya menampilkan aksi yang lebih baik,” kata Malik yang juga pengurus skuad kebangsaan kapal layar di Sukan Sea Korat, bulan lalu.
Sementara itu, kapten Navy Janda Baik, Mohd Khairul Shahril pula beranggapan krew pasukannya mempamerkan usaha lebih baik, semalam berbanding ketika hari pertama, kelmarin apabila menghuni tempat kelapan dan kedua tercorot.
“Mesyuarat pasukan semalam (kelmarin) nyata membantu kami, terutama pada perlumbaan ketiga. Saya yakin kami mampu meningkatkan lagi prestasi kami apabila persaingan berlangsung di laut terbuka esok (hari ini), bagi saya tiupan angin lebih konsisten di laut terbuka berbanding di sekitar Pelabuhan Kuah,” kata Khairul.
Filed under: Regatta Appearance




