Berita Harian Continues Reporting for 3rd Day of Regatta

The following news printed on Berita Harian Online, 10 January 2008:

Jelik, Quantum satu lawan satu

Oleh Mohd Fadzrie Hazis

Rebut trofi Perdana Menteri di Regata LangkawiPEREBUTAN kejuaraan trofi Perdana Menteri di Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) kini sah menjadi saingan satu lawan satu antara pasukan Jelik dari Hong Kong dan pasukan dari Australia, Quantum Racing selepas Jelik memenangi perlumbaan kelima semalam.

Saingan hari ketiga semalam sedikit terganggu apabila hanya satu pusingan iaitu perlumbaan kelima diadakan, berikutan kurangnya angin pada sebelah petang sehingga memaksa Pengarah Kejohanan, Mark Pryke mengambil keputusan membatalkan perlumbaan keenam.

Namun, ia tidak menjadi penghalang kepada Jelik untuk mengungguli saingan perlumbaan kelima, dengan catatan 2 jam 55.38s, sekali gus membolehkan pasukan pimpinan Frank Pong itu memungut 9 mata keseluruhan untuk berada di tangga teratas keseluruhan setakat ini.

Quantum Racing juga memungut pungutan mata yang sama dengan Jelik, namun wakil dari Hong Kong itu berada pada tempat teratas selepas memenangi perlumbaan terakhir semalam.

Bagi Frank, dia berharap tiupan angin yang lebih baik hari ini kerana ia kemungkinan dapat menentukan kejuaraan, dan mengakui ia semakin nyata saingan gelaran adalah antara pasukannya dan Quantum Racing.

“Sesiapa yang menang esok (hari ini) akan memenangi Trofi Perdana Menteri, jadi saya amat berharap keadaan angin yang lebih baik esok (hari ini). Kami bernasib baik sebenarnya untuk memenangi perlumbaan kelima kerana tiupan angin yang kuat pada permulaan perlumbaan.

“Memang saingan antara kami dan Quantum Racing amat sengit, ia sama seperti tahun lalu. Tetapi kami akan menggandakan usaha kami esok (hari ini), bagi memastikan kami mampu bergelar juara,” kata Frank.

Sementara itu, dua wakil negara, Zuhal dan Navy Janda Baik hanya mampu mengekalkan kedudukan keenam dan ketujuh, selepas perlumbaan kelima semalam dengan catatan masa 3:12.57s dan 3:18.29s.

Bagi kapten Zuhal, Lt Komander Malik Sulaiman, krew pasukannya sudah melakukan usaha terbaik tetapi terpaksa akur sasaran menduduki tiga tempat teratas sudah jauh dari jangkauan mereka.

“Bagi saya, untuk pasukan ini mencapai kejayaan mungkin kami memerlukan tenaga jurulatih asing bagi membantu peningkatan kami. Mungkin sasaran tiga tempat teratas sukar dicapai kini, tetapi saya yakin kami masih berkemampuan untuk menduduki tempat kelima.

“Segala-galanya bergantung kepada tiupan angin esok (hari ini), jika ia sekitar 8 hingga 15 knot, ia sesuai untuk bot kami yang besar ini,” kata Malik.

Leave a Reply