Seperti dilaporkan di Berita Harian, 12 January 2008:
Jangan pandang rendah Janda Baik, Zuhal
Oleh Mohd Fadzrie Hazis
PENCAPAIAN dua wakil negara dalam kelas Racing, Navy Janda Baik dan Zuhal yang sekadar meraih tempat keenam dan ketujuh daripada sembilan pasukan di Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) membuktikan peserta negara masih jauh di belakang pasukan terbaik yang bertanding pada edisi kali ini.Bagi kapten Zuhal, Lt Komander Malik Sulaiman, kepincangan ketara wujud pada pasukan kapal layar tempatan ialah kekurangan pendedahan beraksi di kejohanan regata antarabangsa.
“Kami perlu beraksi dalam lebih banyak regata di masa depan, kini kami hanya beraksi di RLIR dan juga Regata Raja Muda yang diadakan November lalu. Ia jelas tidak mencukupi, berbanding pasukan lain yang beraksi dalam 20 regata setahun.
“Kami juga kekurangan dana untuk membiayai penyertaan di kejohanan luar negara dan juga untuk meningkatkan lagi keupayaan bot kami berbanding pencabar lain.
“Saya berpuas hati dengan komitmen pasukan saya, yang berusaha sebaik mungkin, tetapi tiupan angin di beberapa hari terakhir juga tidak menyebelahi kami. Saya berharap di masa depan, lebih banyak syarikat korporat tempatan tampil memberi sokongan kepada pasukan tempatan di RLIR,” kata Malik.
Navy Janda Baik menamatkan saingan perlumbaan kelapan di tempat ketujuh, dengan catatan dua jam 24.23s untuk menduduki tempat keenam keseluruhan dengan pungutan 46 mata penalti.
Zuhal pula mengakhiri saingan kelmarin di tempat kelapan dengan catatan 2:25.27s untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan dengan hanya 48 mata.
Kapten Quantum Racing, Ray Roberts yang mengemudi pasukan muncul juara buat kali ketiga berturut-turut beranggapan bahawa pasukan tempatan seperti Zuhal dan Navy Janda Baik mempunyai potensi namun, mereka harus kekal dalam satu pasukan buat masa yang lama kerana pasukannya sendiri juga berlayar bersama selama lapan tahun.
“Mereka mempunyai potensi untuk meningkat, tetapi jika mahu menjadi pencabar utama, mereka harus dikekalkan dalam satu pasukan buat tempoh yang lama dan beraksi di seberapa banyak kejohanan yang boleh.
“Hanya dengan cara itu mereka boleh meningkatkan lagi keupayaan mereka sebagai satu pasukan yang mantap. Dengan beraksi sebagai satu pasukan untuk tempoh lama, ia mampu memberi pengalaman kepada satu-satu pasukan itu untuk bangkit daripada kesilapan mereka dalam perlumbaan.
“Setiap pasukan pasti melakukan kesilapan dalam perlumbaan regata, begitu juga dengan kami, tetapi kelebihan pengalaman kami membolehkan kami bangkit,” kata Roberts.
Sementara itu pasukan MYA-KFC pimpinan Rizal Mahadi, berjaya mengakhiri saingan kelas Sports Boat bawah 25 tahun di tempat kedua dengan 16 mata, MYA-KFC menamatkan saingan hari terakhir di tempat keempat dengan catatan, 1:25.06s.
Pasukan pimpinan Vincent Chan, Mata Hari berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam acara IRC dengan 15 mata, dan kedua dalam kelas IRC Premier Cruser dengan 11 mata.
Filed under: Regatta Appearance | Tagged: closing day regatta, Janda Baik boat, yacht, Zuhal boat




