Merumus Pencapaian di Regatta Langkawi 2008

Turut dilaporkan seperti di Harian Metro Online:

Pelayaran tagih jurulatih asing

Oleh BAZLY AZMI
bazly@hmetro.com.my

KEBERKESANAN penganjuran Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2008 menghadirkan sinar kejayaan terhadap program pembangunan perahu layar Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) yang dimulakan sejak 2004.Program perintis berbekalkan 28 pelayar di bawah Projek Elit Gemilang 2010 berpangkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan itu mula menuai hasil berbekalkan kejayaan meraih dua pingat emas, satu perak dan empat gangsa pada Sukan Sea Korat, Disember lalu.

Pengurus skuad pelayaran Sukan Sea Korat, Leftenan Komander Malik Sulaiman (gambar) berkata, edisi keenam RLIR membuka lembaran baru terhadap arena perahu layar negara ini apabila penganjur bersama, MYA-KFC bersetuju menganjurkan kejohanan di setiap negeri bermula Februari ini.

“MYA amat berbesar hati dengan pembabitan syarikat swasta untuk bekerjasama dalam program pembangunan sukan pelayaran negara ini.

“Saya yakin jika usaha ini berterusan, Malaysia bakal memiliki skuad pelapis mantap menjelang kejohanan utama dunia.

“Malah, kami amat berharap Malaysia bakal melahirkan pengganti Kevin Lim yang pernah beraksi di dua temasya Sukan Olimpik (Sydney dan Athens), demi meneruskan kesinambungan cabaran negara dalam acara ini,” katanya.

Mengulas kekurangan pembabitan skuad penuh negara pada RLIR bersandarkan enam penyertaan berbanding 36 pasukan dalam lapan kategori, Malik menambah, faktor itu berpunca promosi dan penyebaran maklumat yang kurang meluas.

“RLIR terbuka kepada mana-mana pasukan yang berminat menyertainya malah banyak bot luar negara membuka peluang kepada kru tempatan beraksi bersama mereka pada kejohanan ini.

“Ramai yang tidak sedar mengenai peluang ini, sekali gus menyekat minat mereka untuk beraksi pada RLIR. Mungkin promosi perlu dipertingkatkan termasuk melalui internet pada edisi berikutnya supaya kita dapat saksikan pertambahan wakil Malaysia,” katanya.

Malik menyifatkan arena pelayaran di Malaysia kini terbahagi kepada tiga tahap berdasarkan program pembangunan kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Selain program elit yang menjalani latihan di Pusat Pelayaran Antarabangsa Port Dickson dan Langkawi, KBS turut mewujudkan skuad pelapis iaitu pelayar yang bernaung di bawah persatuan negeri.

“Malah, program pembangunan iaitu pencarian bakat baru melalui kejohanan negeri menyaksikan negara tidak kekurangan pelayar muda untuk menggantikan mereka yang meninggalkan arena ini.

“KBS juga sudah membeli beberapa buah bot untuk tujuan latihan dan pendedahan kepada pelapis di Pelabuhan Klang.

“Malah, TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) bersetuju melatih mana-mana individu berdaftar dengan program KBS yang berminat mendalami ilmu pelayaran,” katanya.

Justeru, Malik berharap, KBS mempertimbangkan hasrat melantik kepakaran luar untuk ilmu pelayaran sebenar terutamanya dalam kategori tinggi seperti Racing, IRC dan Sports Boat.

Tambahnya: “Tiada jurulatih di Malaysia yang benar-benar pakar mengenai pelayaran termasuk perlumbaan ‘Fleet’ dan ‘Match’. Contohnya di RLIR dan Regatta Raja Muda Selangor kerana formatnya berlainan.

“Jadi, kita perlukan jurulatih asing untuk mendedahkan ilmu pengendalian terhadap pelapis kerana negara luar lebih pakar mengenai sukan ini.

“Bukan kita tidak memiliki jurulatih berkaliber tapi tahapnya masih belum mencukupi untuk melahirkan pelapis bertaraf bintang.

“Kita juga sedang menuju ke arah itu melalui Skim Kejurulatihan Kebangsaan, jadi saya harap situasi terbabit sedikit sebanyak dapat membantu.”

Pelayar yang mula mewakili negara pada Sukan Sea 1995 itu kini mengharapkan lebih banyak pihak terutamanya badan bukan kerajaan berganding bahu melahirkan pelayar pelapis pada masa depan.

“Pembelian bot supaya menjadi platform terbaik kepada golongan muda negara untuk mendekati sukan pelayaran.

“Malah, kami di MYA dan TLDM sedia membantu dalam aspek latihan dan teknikal.

“Mungkin langkah itu membantu menambah bilangan wakil negara yang beraksi pada RLIR edisi depan terutamanya Racing kerana sasaran MYA adalah menambah dua lagi penyertaan berbanding dua yang sedia ada.

“Selain itu, saya amat berharap Malaysia mempunyai wakil ke Olimpik menjelang kempen kelayakan terakhir di New Zealand, Februari depan. Peluangnya tetap ada sekalipun agak tipis,” akhirinya.

Leave a Reply