Berita ini ditulis sendiri oleh Malik S – (Utusan Online 19 September 2007)


polis & tentera

Regata ATM cungkil bakat baru

Oleh: LT. KDR. MALIK SULAIMAN

KEJOHANAN Regata Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2007 berlangsung di Fasilitas Marin KD Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak baru-baru ini.

Kejohanan tersebut dianjur oleh Persatuan Perahu Layar TLDM di bawah Program Ranking Kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dan Kelab Perahu Layar TLDM (RMNYC).

Kategori yang dipertandingkan adalah Laser 4.7, Laser Radial, Laser Standard, International 470, Windsurfing, Optimist Kategori A (umur 13-15 tahun), Optimist Kategori B (umur 11-12 tahun) dan Optimist Kategori C (bawah 10 tahun).

Ia disertai oleh 12 persatuan dan kelab perahu layar dari seluruh negara.

Seramai 150 peserta mengambil bahagian terdiri daripada empat kelas windsurfing, 38 kelas Laser, 15 kelas International 470 dan 68 kelas Optimist.

Penyertaan kelas International 470 mencatat jumlah terbesar pernah diadakan di negara ini.

Secara keseluruhannya seramai 330 pelayar, pegawai perlumbaan, pengurus pasukan dan jurulatih terlibat dalam kejohanan berkenaan.

Turut serta adalah pasukan Projek Gemilang MYA/MSN yang menjadikan pertandingan tersebut sebagai medan latihan sebelum menghadapi Sukan Sea ke-XXIV di Nakhon Ratchasima, Thailand pada Disember ini.

Menurut jurulatih luar pasukan Projek Gemilang 2010, Ronald Van Vianen, terdapat beberapa pelayar negeri yang telah memberi saingan hebat kepada pasukan mereka sepanjang kejohanan berkenaan.

Selain itu, katanya, terdapat juga pelayar muda yang berpotensi untuk diketengahkan bagi diserapkan ke dalam pasukan berkenaan.

Jurulatih dari Belanda ini berpendapat, pertandingan seumpama itu amat berguna dan merupakan platform untuk mencungkil bakat-bakat baru pelayar bagi mewakili negara.

Upacara penyampaian hadiah dan penutup kejohanan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali yang juga Yang Dipertua Majlis Sukan Angkatan Tentera.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha; Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Mohd. Amdan Kurish; Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Pertama Musa Omar dan Timbalan Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia, Khairudin Hassan.

Pada majlis itu, Ramlan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang keseluruhan perlumbaan yang dimenangi oleh Razman Mat Ali dan Ahmad Hakimi Shukri dari pasukan Projek Gemilang.

Kategori Keseluruhan Laser telah dimenangi oleh Mohd. Romzi Mohamad, juga dari pasukan Projek Gemilang.

Kategori Optimist Keseluruhan pula dimenangi oleh Mohd. Noorhafizi Yusran dari Persatuan Sukan layar Selangor sementara gelaran Pelayar Terbaik Wanita jatuh kepada Nurul Elia Anuar dari Pasukan Projek Gemilang.

Secara keseluruhannya, pasukan Projek Gemilang mengungguli kejohanan tersebut diikuti Persatuan Sukan Layar Selangor.

Manakala pasukan TLDM pula memenangi kategori tertutup ATM.